Soal Jawab Tentang Aqiqah & Qurban
Senarai Soalan
1- Apa Itu Aqiqah?
Aqiqah oleh masyarakat Melayu Muslim di Malaysia adalah satu ibadah Islam dengan mengorbankan haiwan untuk bayi lelaki atau perempuan yang baru lahir.
Ibadah aqiqah disembelih pada hari ke-7 kelahiran bayi.
Sekiranya terlepas pada hari ke-7 kelahiran, maka hendaklah disembelih pada hari ke-14 atau ke-21.
Demikianlah seterusnya tiap-tiap 7 hari berikutnya.
Hal ini berdasarkan pendapat Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari dalam kitab karangannya Sabil Al-Muhtadin.
Ibadah aqiqah sesuai dengan hadith riwayat Abu Daud, At Tirmidzi dan Ibnu Majah :
“Setiap anak yang lahir itu terpelihara dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke tujuh (7); dari hari lahirnya- dicukur seluruh rambutnya dan diberikan nama yang membawa maksud yang baik.”
2- Apa Hukum Aqiqah?
Hukum aqiqah adalah sunat muakkadah (dituntut) bagi yang berkemampuan.
Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA katanya:
Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى
Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”.
3- Apa Beza Aqiqah & Qurban?
Aqiqah : Ibadah yang dilakukan sebagai tanda kesyukuran atas nikmat dikurniakan anak.
Qurban : Tujuannya untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT.
Ia dilakukan sebagai menghidupkan syariat Nabi Ibrahim dan seterusnya Nabi Muhammad SAW.
Hukum kedua-duanya sunat muakkad.
4- Bila Aqiqah Dilakukan?
Waktu terbaik adalah pada hari ke-7 kelahiran bayi.
Jika terlepas atas sebab tertentu, anda boleh lakukan pada hari ke-14.
Dan sekiranya tidak sempat juga, anda boleh laksanakan pada hari ke-21.
Kadar perbezaannya adalah setiap 7 hari berikutnya sehinggalah anak tersebut mencapai baligh.
Akan tetapi, sekiranya tidak mampu dilakukan dalam tempoh tersebut, anda boleh lakukan bila telah berkemampuan.
5- Berapa Umur Kambing Untuk Aqiqah?
1. Kambing Biasa:
Sekurang-kurangnya dua tahun.
2. Kambing Biri – Biri:
Sekurang-kurangnya telah masuk satu tahun.
Sembelihan boleh dilakukan seawal usia 365 hari.
Ini bersesuaian dengan hadith, daripada Abu Hurairah RA berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
نِعْمَتِ الْأُضْحِيَّةُ الْجَذَعُ مِنْ الضَّأْنِ
Maksudnya: “Biri-biri yang paling baik dibuat qurban ialah yang dalam usia Jaza”
Riwayat al-Tirmizi (1499)
6- Berapa Ekor Kambing Aqiqah Untuk Anak Lelaki?
Untuk anak lelaki adalah dua (2) ekor kambing sahaja.
Ini berdasarkan hadith dari Ummul Mukminin, Aaisyah R.A bahawa,
“Rasulullah telah menyuruh kami mengerjakan aqiqah bagi bayi lelaki 2 ekor kambing yang bersamaan kedua-duanya dan bagi bayi perempuan pula satu (1) ekor kambing.”
Riwayat At-Turmuzi
Untuk kes anak lelaki, sekiranya tidak mampu 2 ekor, boleh buat 1 ekor dahulu.
Ini sepertimana yang dilakukan dalam kes cucu Rasulullah yakni Hasan dan Husain, Rasulullah telah menyempurnakan aqiqah Hasan & Husain dengan menyembelih satu (1) ekor Kibasy – Riwayat Abu Daud.
7- Berapa Ekor Kambing Untuk Aqiqah Anak Perempuan?
Untuk anak perempuan, cukup satu (1) ekor kambing sahaja.
Bersesuaian dengan hadith Rasulullah saw dari Ummul Mukminin, Aaisyah R.A bahawa
“Rasulullah telah menyuruh kami mengerjakan aqiqah bagi bayi lelaki 2 ekor kambing yang bersamaan kedua-duanya dan bagi bayi perempuan pula satu (1) ekor kambing.”
Riwayat At-Turmuzi.
8- Bolehkah Aqiqah Seekor Lembu Untuk Anak Baru Lahir?
Ya, boleh.
Dalam mazhab Syafie, dibolehkan untuk menggantikan kambing dengan lembu ataupun unta.
Ini seperti mana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu`:
مَذْهَبُنَا جَوَازُ الْعَقِيقَةِ بِمَا تَجُوزُ بِهِ الْأُضْحِيَّةُ مِنْ الابل والبقر والغنم وبه قال أنس ابن مَالِكٍ وَمَالِكُ بْنُ أَنَسٍ وَحَكَى ابْنُ الْمُنْذِرِ عَنْ حَفْصَةَ بِنْتِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَا يُجْزِئُ إلَّا الْغَنَمُ
Maksudnya: Mazhab kami (iaitu al-Syafi`e), dibolehkan aqiqah apa yang dibolehkan dengannya sembelihan dari jenis unta, lembu dan kambing dan ini adalah pendapat Anas bin Malik dan Malik bin Anas.
9- 1 Ekor Lembu Aqiqah Bersamaan Berapa Orang Bayi?
Kiraannya adalah seekor kambing itu bersamaan dengan 1 bahagian lembu.
Kadar bagi seekor kambing adalah bersamaan dengan 1/7 daripada lembu dan boleh dikongsi bahagian tersebut secara berjemaah.
Ini sesuai dengan apa yang disebutkan al al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj:
وَكَالشَّاةِ سُبْعُ بَدَنَةٍ أَوْ بَقَرَةٍ، فَلَوْ ذَبَحَ بَدَنَةً أَوْ بَقَرَةً عَنْ سَبْعَةِ أَوْلَادٍ، أَوْ اشْتَرَكَ جَمَاعَةٌ فِيهَا جَازَ، سَوَاءٌ أَرَادُوا كُلُّهُمْ الْعَقِيقَةَ أَوْ بَعْضُهُمْ الْعَقِيقَةَ وَبَعْضُهُمْ اللَّحْمَ
“Dan bagi seekor kambing itu 1/7 (satu bahagian) dari unta dan lembu. Sekiranya disembelih unta atau lembu itu dari 7 orang anak atau dikongsi secara beramai-ramai, ia juga dibolehkan sama ada dengan sembelihan itu kesemua (bahagian) diniatkan untuk aqiqah atau sebahagian untuk aqiqah dan sebahagian lagi hanya untuk mendapatkan daging sahaja.”
10- Apa Syarat Haiwan Untuk Aqiqah?
Untuk kambing, syaratnya adalah dari jenis kambing berbulu.
Umurnya wajib genap dua tahun.
Untuk biri – biri adalah dari berbulu tebal seperti kibas, kharuf dan sebagainya.
Umurnya wajib genap setahun umurnya atau telah gugur gigi hadapannya sekalipun belum genap setahun umurnya.
11- Daging Aqiqah Untuk Siapa?
Perbezaan aqiqah dan qurban adalah daging aqiqah disunatkan untuk dimasak terlebih dahulu untuk dimakan dan dijamu bersama keluarga, sahabat atau faqir miskin.
Anda boleh menjamu daging aqiqah kepada sesiapa sahaja tanpa ada halangan.
Tetapi dengan Aqiqah Centre, daging aqiqah akan diagihkan kepada faqir miskin dan insan yang memerlukan di sekitar Tanah Suci Mekah.
Manakala daging qurban pula tidak dimasak, sebaliknya diagihkan secara mentah kepada umum.
12- Siapa Yang Boleh Makan Daging Aqiqah?
Orang faqir miskin dari kalangan umat Islam kita sendiri.
Akan tetapi, anda juga disunatkan memakan sebahagian daging sembelihan dari ibadah aqiqah, kemudian disedekahkan sebahagian lagi.
Ini sesuai dengan kata – kata dari Aisyah r.a bahawa :
“Sesungguhnya haiwan korban untuk aqiqah itu tidak dipatah-patahkan di bahagian tulangnya, ia juga adalah untuk dimakan oleh kita dan diberi makan (kepada fakir miskin).”
(Ibn Abi Shaybah)
Ibu bapa anak yang diaqiqahkan boleh makan daging tersebut.
Mereka mestilah tidak memakan daging itu berseorangan tanpa menjamu ahli keluarga terdekat, jiran tetangga, sahabat handai, fakir miskin dan sebagainya.
Sunat dalam ibadah aqiqah adalah memberikan kaki kambing aqiqah tersebut kepada bidan yang menyambut kelahiran bayi tersebut.
13- Apa Hukum Orang Bukan Islam Makan Daging Aqiqah?
Makruh hukumnya menjamu daging sembelihan aqiqah sedangkan masih terdapat golongan faqir miskin semuslim yang tidak diberikan daging aqiqah tersebut.
Haram hukumnya bilamana daging sembelihan dari ibadah aqiqah itu diberikan sepenuhnya kepada golongan bukan Islam berdasarkan sabda Nabi Muhammad saw:
“Janganlah kamu bersahabat dengan bukan Islam dan jangan kamu memberi makan kecuali mereka yang bertakwa.”
(Riwayat Abu Dawud)
14- Bolehkah Saya Aqiqahkan Diri Sendiri?
Ibadah aqiqah adalah sunat yang sangat dituntut di dalam Islam.
Sekiranya ibu bapa anda tidak berkemampuan atau tidak sempat melakukan aqiqah untuk anda, anda boleh melakukan ibadah aqiqah untuk diri sendiri.
Hal ini kerana, Nabi Muhammad saw juga melakukan ibadah aqiqah untuk dirinya sendiri selepas diangkat menjadi Rasul pada umurnya 40 tahun.
15- Bolehkah Orang Lain Lakukan Aqiqah Untuk Anak Saya?
Rasulullah sendiri telah melaksanakan ibadah aqiqah buat cucunya Hassan bin Ali r.a dan Hussain bin Ali r.a atas kapasiti ingin membantu anak baginda Fatimah Azzahra r.a.
Untuk anak lelaki boleh juga satu ekor kambing disponsor oleh orang lain dan satu ekor kambing lagi dilakukan oleh anda bersama Aqiqah Centre di Tanah Suci Mekah.
16- Apa Amalan Selain Aqiqah Untuk Bayi Baru Lahir?
Selain ibadah aqiqah pada hari ke-7, disunnatkan juga mencukur kepala bayi.
Jika berkemampuan, anda boleh timbang rambut bayi tersebut dan sedeqahkan emas atau perak mengikut berat rambut tersebut.
Selain itu, anda boleh mengisytiharkan nama bayi tersebut kepada orang ramai dan disunnahkan memberi nama yang baik seperti nama para Nabi, Awliya atau nama dari Asma Allah.