Perutusan Qurban 2024/1445H

بسم الله الرحمن الرحيم

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا

[ QURBAN DI TANAH SUCI MAKKAH 2024M/1445H ]

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ – الحاج : 37

Daging dan darah binatang qurban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, akan tetapi yang sampai kepadaNya adalah amal ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya menjadi baik dan cantik amalnya. (Surah Al-Haj : 37)

Dengan nama Allah Tuhan sekalian alam dan Tuhan Maha Pemberi segala sesuatu.

Wahai Tuhan empunya segala dzāt Kekuasaan dan Kemuliaan,

Tuhan yang Maha Menjaga dan Maha Mengetahui setiap isi hati manusia.

اللهم هذا منك ولك وهذا عنا، اللهم تقبل منا هذه الأضحية

Ya Allah,

Sesungguhnya Qurban ini adalah untuk aku menjadi seorang insan yang baharu, seorang insan yang akan sering mendekatkan diri kepada Mu dan hanya untuk-Mu.

Ya Allah,
Kami persembahkan haiwan-haiwan sembelihan Qurban ini untuk-Mu.

Maka,
Terimalah Qurban kami pada tahun ini.

Rakaman umum tahun sebelumhttps://youtu.be/klfObjPHYVE
Rakaman umum tahun 2024/1445H : https://youtu.be/v5FkXt75RqM

Bismillahir Rahmānir Rahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Para peserta ibadah Qurban di Tanah Suci Makkah 2024M/1445H yang dimuliakan dan dirahmati Allah.

Alhamdulillah, telah sempurna ibadah Qurban tuan-tuan dan puan-puan yang diamanahkan kepada pihak Aqiqah Centre sepanjang 4 hari tashreeq; 10-13 Dzul Hijjah 1445H yang lepas. Sekian halangan dan cabaran berlaku seperti biasa, namun semuanya berjaya diurus dengan baik, Alhamdulillah.

Saban tahun, kerajaan Arab Saudi sangat komited dalam usaha menambah baik infrastruktur, sistem, peraturan dan teknologi bagi memastikan para tetamu Allah dari seluruh pelusuk dunia melakukan ibadah Haji dan Umrah di Tanah Suci Mekah dalam keadaan lancar, selamat, dan selesa.

Peraturan Baharu

Sejak berakhir musim haji 1444H (satu tahun yang lepas) kerajaan Arab Saudi telah mengkaji semula peredaran & kawalan keluar masuk jemaah umrah dan haji. Kita juga mendengar berita di dada akhbar sejak awal musim haji tahun ini Bermula sekatan demi sekatan telah berlaku bagi mengelakkan peserta haji yang tidak mendaftar secara sah masuk ke Tanah Haram Mekah.

Pihak kerajaan Saudi juga membuat kempen besar-besaran “Tiada Haji, Jika Tiada Visa” kempen ini sekali gus menghadkan kemasukan pelawat-pelawat yang menggunakan visa pelancong berada di Tanah Suci Mekah sepanjang musim haji berlangsung.

Kawalan lalu lintas, pertambahan petugas-petugas dan pemeriksaan yang ketat dijalankan secara besar-besaran dan berterusan diseluruh pelusuk Kota Mekah. Atas kempen ini juga, hukuman dan tangkapan telah berlaku yang mengenakan denda 6 bulan penjara dan/atau denda 50,000SAR juga diharamkan memasuki negara Saudi.

Kesemua ini berlaku bagi memudahkan dan melancarkan perjalanan para petugas haji, dan lebih utama bagi menjaga kemaslahatan para Hujjah di Tanah Suci Mekah.

Kesan pada Qurban

Peraturan baharu ini juga turut meliputi hal ehwal pengurusan Qurban. Maka ini memberi tempias yang besar pada pengurusan Qurban di pusat sembelihan Wali Al-Ahd, Mekah.

Tahun demi tahun, peraturan baharu ditambah baik bagi urusan qurban di pusat sembelihan.

Antaranya;

1. Hanya syarikat atau badan berdaftar dengan kerajaan sahaja yang dibenarkan menyembelih haiwan Qurban secara pukal di pusat sembelihan kerajaan.

2. Kerajaan tidak membenarkan sembelihan haiwan betina bagi tujuan qurban demi menjaga penerusan pembiakan haiwan qurban bagi tahun akan datang.

3. Tidak membenarkan pemegang amanah qurban dari negara luar marakam sembelihan Qurban satu per satu dari jarak yang sesuai.

Sebelumnya, peraturan ini sudah tergaris sekian lama akan tetapi perlaksanaannya agak longgar. Akan tetapi pada tahun ini, perlaksanaan berlaku dengan penuh teliti dan tegas.

Wakil petugas Aqiqah Centre juga dimaklumkan untuk tidak berada di dalam pusat sembelihan, kami hanya mendapat kebenaran memerhati di ruangan yang disediakan.

Kami di Aqiqah Centre juga diberi peluang untuk melakukan proses kiraan jumlah sebelum sembelihan dijalankan, selepas sembelihan dijalankan dan perlu mengira semula jumlah ekor kambing yang selesai disembelih.

Daging-daging sembelihan tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam bilik sejuk beku (cold room). Ini adalah bertujuan penyimpanan, seterusnya pihak badan bukan kerajaan (Jam’iah Khairiyyah) mengambil tugas dalam pembungkusan dan mengedaran kepada fakir miskin dan golongan yang memerlukan samada di dalam Tanah suci Mekah dan/atau negara-negara pilihan yang memerlukan.

Sebahagian lain dari daging qurban anda juga diuruskan oleh Aqiqah Centre untuk diberikan kepada pusat tahfiz, dan fakir miskin di sekitar Tanah Suci Mekah.

Penghargaan

Tuan-puan yang kami muliakan,

Sebagai penutup, kami juga dengan rendah hati mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pemegang taruh yang turut bekerjasama pada musim Qurban 2024/1445h kali ini antaranya Maybank Islamic Berhad dan Pusat Pengajian Haffa kerana turut memberikan amanah qurban yang perlu kami pikul dan selesaikan.

Akhir kalam, semoga ibadah Qurban tuan-tuan dan puan-puan diterima oleh Allah, seterusnya menjadi asbab tuan-tuan dan puan-puan menjadi semakin dekat(Qurban) kepada Allah Subhanahu Wa Taala.

Yang Menjadi Saksi Qurban Kalian,

Abdul Halim Khairi Abdul Aziz

Ketua Pegawai Eksekutif,

AQIQAH CENTRE

Rakaman umum tahun 2024/1445Hhttps://youtu.be/v5FkXt75RqM